(1866) KOTA RAJA MAHADI DIBINA SEMASA PERANG KELANG
Kota Raja Mahadi yang dibina pada tahun 1866 terletak strategik di Bukit Kota, Klang sepertimana seharusnya sesebuah kota masa dahulu dibina. Ketinggiannya amat sesuai sekali menghadap Sungai Klang. Kota Raja Mahadi ini merupakan peninggalan saksi bisu sejarah daerah Klang. Ia menyaksikan Perang Kelang yang merupakan Perang Saudara sebanyak dua kali pada pertengahan kurun ke-19 (1867-1874) antara Raja Mahadi Ibni Almarhum Raja Sulaiman dan Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar. Kedua-duanya ingin merebut kuasa bagi hak ke atas Sungai Klang dan kawasan sekitar tebingnya.
PERSEJARAHAN tanah air umumnya dilihat berkisar kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, penjajahan kuasa besar dan perjuangan menuntut kemerdekaan sehingga masyarakat seolah-olah mengabaikan nilai sejarah tempatan yang bukan saja dalam konteks yang lebih mikro.
Sebenarnya sejarah perlu dihargai dan dihayati bukan saja dalam konteks negeri, bahkan daerah serta kampung yang memiliki sisi persejarahan tersendiri tetapi malangnya belum diterokai sepenuhnya.
Hal itu boleh dianggap kerugian yang besar kerana penghayatan terhadap sejarah tempatan secara mikro sebenarnya berupaya membina warga negara yang patriotik dan memiliki jati diri, sekali gus melahirkan generasi celik sejarah.
Kenyataan itu ditegaskan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor (PSMCS), Dr Muhd Yusof Ibrahim yang mengakui sejarah Selangor masih 'terbengkalai' sehingga banyak yang belum digali sepenuhnya.
"Tidak hairanlah kebanyakan anak jati dan penduduk yang sudah bermastautin di negeri ini, tidak dapat mengaitkan tempat yang mereka diami sebagai istimewa dan mempunyai kisah tersendiri.
"Selangor memang tidak mempunyai ikon tertentu seperti Melaka yang terkenal dengan pahlawan hebat, Hang Tuah dan Hang Jebat yang boleh menjadi faktor untuk penduduk asal atau mereka yang menetap di negeri itu untuk berbangga, sekali gus memartabatkan sejarah berkenaan," katanya kepada Sastera BH di Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
Muhd Yusof berkata, PSMCS akan merangka dan mengkaji untuk mengangkat ikon tertentu sama ada pakaian, makanan unik atau ciri budaya Selangor yang unik untuk dijadikan sebagai identiti rakyat di negeri itu.
"Kelemahan paling ketara yang dapat dilihat apabila kebanyakan masyarakat di Selangor langsung tidak tahu mengenai sejarah tempat tinggal mereka.
"Umpamanya tidak ramai yang mengetahui asal usul nama Semenyih lahir daripada perkataan si monyet," katanya pada Majlis Menandatangani Surat Hasrat bersama FPI UKM yang turut dihadiri oleh Dekannya, Prof Dr Wan Kamal Mujani dan Ketua Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islamnya, Dr Azmul Fahimi Kamaruzzaman.
Jejaki sejarah tempatan
Tambah Muhd Yusof, PSMCS dalam proses menerbitkan Ensiklopedia Sejarah Tempatan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPS) sebagai bahan bacaan untuk mendidik masyarakat Selangor mengetahui sejarah negeri berkenaan.
Sementara itu, Wan Kamal berkata, kerjasama antara FPI UKM dan PSMCS itu turut mengambil kira perancangan untuk mendidik masyarakat mengenali dan menghayati sejarah tempatan.
"Pihak kami terpanggil untuk bersama-sama menjejak semula sejarah tempatan terutama di negeri ini melalui kajian, seminar persenjarahan dan wacana ilmiah.
"Ia bertujuan mendidik dan menyedarkan masyarakat terutama generasi muda dan pelajar bahawa kita mempunyai warisan dan budaya yang amat tinggi nilainya," katanya.
Fokus kajian FPI UKM sebelum ini lebih tertumpu kepada persejarahan Asia Barat, Wan Kamal berkata, namun pihaknya menyedari masih banyak persoalan sejarah tempatan yang masih belum selesai.
"Kami berharap dengan kepakaran sejarawan dalam PSMCS, ia dapat membantu dalam merungkai sejarah Selangor dengan lebih mendalam dan mungkin boleh lahir dengan penerbitan buku sebagai rujukan masyarakat kelak," katanya.
Pada acara sama, Azmul Fahimi memberitahu Sastera BH, antara bentuk kerjasama yang bakal diadakan antara dua pihak itu ialah penganjuran bengkel Kaedah Penulisan Sejarah yang antaranya mendedahkan aspek sejarah lisan, kajian dan cara penulisan yang betul.



